AYER KEROH, 15 September – Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) Melaka Bil. 2/2026 telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Cenderawasih, Perbadanan Melaka (MCorp) bagi membincangkan pelbagai agenda berkaitan perancangan dan pembangunan fizikal Negeri Melaka.
Mesyuarat dipengerusikan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka. Turut hadir YB Datuk Wira Salhah binti Salleh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, barisan EXCO, Ketua Jabatan Negeri, Datuk Bandar serta Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah Laporan Tinjauan Rancangan Struktur Negeri (RSN) Melaka 2040. Laporan ini penting dalam menilai pencapaian pelaksanaan dasar dan strategi perancangan, selain mengenal pasti isu, cabaran serta keperluan penambahbaikan bagi memastikan hala tuju pembangunan negeri kekal relevan dan responsif terhadap keperluan semasa.
Mesyuarat JPN turut menjadi platform penting dalam menyelaras dasar, menilai cadangan pembangunan serta memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Negeri, jabatan teknikal dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan pembangunan Negeri Melaka dilaksanakan secara terancang, bersepadu, mampan dan berdaya tahan.
PLANMalaysia Melaka selaku urus setia JPN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan mesyuarat ini.
Semoga segala keputusan yang dipersetujui terus menjadi pemangkin kepada perancangan pembangunan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi demi memacu kemajuan Negeri Melaka serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.